October 7, 2008

Pesanan & Pahala Untuk Para Suami

Rasulullah S.A.W sering menasihati suami sebagai ketua keluarga supaya melayani isteri dengan sebaik-baiknya. Baginda menegaskan bahawa "suami yang terbaik itu ialah yang berlaku baik terhadap isterinya." (Maksud hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi)

Dalam hadis lain pula, Baginda berpesan kepada suami dengan sabdanya yang bermaksud: "Hendaklah kamu ingat memperingati supaya berbuat baik kepada wanita (isteri). Sesungguhnya mereka adalah seperti tawanan di sisi kamu. "Kamu tidak memiliki apa-apa pun daripada mereka, kecuali hak untuk menikmati hubungan kelamin antara kamu berdua. Tetapi, apabila isteri kamu melakukan kejahatan yang nyata, maka tinggalkan tempat tidur mereka dan pukul mereka dengan cara yang tidak terlalu menyakitkan.
"Jika mereka kembali taat kepadamu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyakitkan mereka.
"Ingatlah bahawa kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan isteri kamu juga ada hak ke atas kamu. Hak kamu adalah tidak membenarkan mana-mana lelaki tidur di atas tilam kamu dan tidak mengizinkan sesiapa yang kamu tidak suka memasuki rumah kamu.
"Adapun hak isteri ke atas kamu adalah kamu memberi yang terbaik kepada mereka pakaian dan makanan mereka". (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Hadis ini dengan tegas menyatakan bahawa meskipun kehidupan isteri terikat dengan suami laksana seorang tawanan, namun mereka tidak boleh dianggap sebagai hamba yang boleh diperlakukan sesuka hati. Isteri mempunyai hak untuk mendapat layanan sebaik-baiknya.

Suatu ketika, ramai isteri datang menemui isteri Rasulullah mengadu mengenai layanan buruk yang diterima daripada suami mereka.
Apabila Rasulullah mengetahuinya, Baginda pun bersabda maksudnya: "Sesungguhnya ramai wanita datang menemui isteriku mengadu mengenai suami mereka. Sesungguhnya suami kepada wanita itu bukanlah orang yang terbaik daripada kalangan kamu." (Hadis riwayat Abu Daud).

Tidak dapat dinafikan, sebagai manusia masing-masing ada kelemahan dan kekurangan sama ada isteri mahupun suami.
Cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan bersabar dan tidak membesar-besarkan kelemahan itu.

Firman Allah bermaksud: "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (kerana tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu." (Surah an-Nisa, ayat 19).

Diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Ayyub kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Dan mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun.

No comments:

 
Dear Diary Blogger Template